Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menzahirkan rasa tidak bersetuju dengan pengumuman cuti hujung minggu di Johor yang akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Menerusi satu hantaran di Facebook, katanya, Johor tidak akan mundur jika dikekalkan Jumaat adalah hari cuti di mana memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Islam di negeri itu.
“Jumaat adalah hari yang mulia dalam budaya Islam dan mempunyai pengertian yang besar bagi masyarakat Islam di seluruh dunia.
“Perubahan untuk menjadikan Jumaat sebagai hari bekerja dan Ahad sebagai hari cuti di Johor pernah berlaku beberapa tahun yang lalu.
“Tetapi perubahan itu tidak bertahan lama kerana rakyat Islam di Johor tidak menyokongnnya,” katanya.
Malah, menurut Hassan, rakyat Johor yang bukan Islam juga sudah menerima hakikat budaya dan sejarah politik Johor mengapa Jumaat adalah hari cuti di negeri itu.
Pada Isnin, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan bahawa cuti hujung minggu di negeri Johor ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Tunku Mahkota Ismail memaklumkan cadangan berkenaan telah mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Mengulas lanjut, kata Hassan, cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu di Johor bukan sekadar cuti biasa dan mempunyai makna daripada segi sejarah dan budaya Johor.
Justeru, katanya, perubahan yang akan berlaku di Johor ini mempunyai makna yang tersendiri iaitu melupakan pengertian budaya dan sejarah politik Johor.
“Johor adalah salah sebuah Negeri-Negeri Melayu tidak bersekutu yang mana cuti hujung minggu ialah pada hari Jumaat dan Sabtu.
“Negeri-negeri Melayu tidak bersekutu ini adalah negeri yang paling kurang pengaruh jajahan Inggeris yang mengenakan pengaruh budaya ke atas tanah jajahannya seperti negeri-negeri Selat: Melaka dan Pulau Pinang serta negeri-negeri Melayu bersekutu seperti Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan yang kesemua negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini dipaksa cuti ikut kehendak penjajah Inggeris iaitu pada hari Sabtu dan Ahad,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, sebagai rakyat biasa dan seorang Ahli Parlimen biasa dari negeri Johor, beliau tidak boleh berbuat apa-apa mengenai keputusan berkenaan.
“Tetapi saya masih ada satu hak untuk bersuara. Hak itu tidak boleh ditekan dan dirampas dari saya.
“Dengan rendah hati saya selaku anak jati Johor seorang anak Melayu berbudaya Melayu dan beragama Islam yang menghormati sejarah dan budaya Johor maka izinkan saya menzahirkan rasa tidak bersetuju saya dengan perintah yang dibuat oleh raja pemerintah negeri Johor ini yang ingin menukar hari Jumaat menjadi hari bekerja dengan menggantikan hari Ahad seperti yang dikehendaki penjajah Inggeris selama ini sebagai hari cuti,” katanya.
Untuk rekod, Johor telah melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad kali pertama pada tahun 1994 ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar.
Tunku Mahkota Ismail juga mengarahkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan mufti Johor mengadakan perbincangan berkaitan keputusan terbaru itu.
Baginda juga berharap semua syarikat baik swasta mahupun kerajaan memberi ruang secukupnya untuk waktu solat Jumaat.