Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh inisiatif pemuliharaan sumber air dengan mengembangkan penggunaan kolam takungan sebagai sumber air alternatif.
Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim, sebanyak 100 buah kolam sumber air alternatif telah dikenal pasti di seluruh negeri, termasuk di Bestari Jaya, Kuala Selangor.
Kolam-kolam tersebut memainkan peranan penting dalam pembekalan sumber air yang turut direka untuk pelbagai tujuan, termasuk tebatan banjir, rekreasi dan mitigasi pencemaran.
Antara projek utama yang sedang dilaksanakan di Bestari Jaya ialah pembangunan kolam takungan hiliran atau Off River Storage (ORS), yang merangkumi enam buah kolam seluas 64.98 hektar.
“Kawasan ini merupakan salah satu projek di bawah Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) untuk membekalkan sumber air alternatif kepada loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang,” jelasnya dalam kenyataan pada Selasa.
Bukan sekadar pembekalan air, kolam-kolam tersebut juga berfungsi sebagai lokasi rekreasi dan aktiviti komuniti.
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) giat melibatkan komuniti setempat dalam inisiatif Friends of Rivers (FOR).
“Kami sentiasa mengalu-alukan penglibatan masyarakat, NGO dan penggerak aktiviti air untuk memelihara serta memulihara sumber air melalui aktiviti seperti gotong-royong pembersihan dan acara kemasyarakatan,” tambahnya.

Melalui kerjasama dengan pelbagai pihak, Kerajaan Negeri berharap kawasan sumber air dapat dipelihara dan dijaga dengan baik.
Dalam usaha menjaga kelestarian sumber air, kerajaan turut menyeru kepada industri agar memanfaatkan kawasan-kawasan takungan air ini secara bertanggungjawab.
Mana-mana pemain industri yang ingin membangunkan aktiviti bermanfaat di atas kawasan badan air akan dialu-alukan, asalkan mereka memelihara kualiti dan integriti sumber tersebut.
Dengan inisiatif yang menyeluruh ini, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat memastikan sumber air sentiasa mencukupi dan lestari untuk keperluan rakyat dan generasi akan datang.