Maritim Sarawak tahan 2 bot, 10 rakyat Vietnam

Oleh: Kamilia Ali

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak berjaya menahan 10 kru dan dua vesel nelayan asing (VNA) Vietnam dalam operasi di perairan Sarawak pada Sabtu lalu.

Menurut Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, kedua-dua bot terbabit ditahan aset Maritim Malaysia selepas mendapati kedua-dua bot terbabit bergerak dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan dijalankan.

“Kedua-dua bot cuba melarikan diri, namun Maritim Malaysia berjaya menghalang mereka melalui ‘force boarding’ dengan kedua-dua bot ditahan pada pukul 11.35 dan 11.55 pagi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 10 kru yang ditahan termasuk tekong, adalah warga Vietnam berumur 30 hingga 66 tahun didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua kru disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, di mana tekong boleh didenda hingga RM1 juta, manakala kru pula boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan sempena Search and Rescue Excersice (SAREX) Level 2, di sini, semalam.

Dalam pada itu, latihan itu bertujuan memperkukuh koordinasi antara agensi dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di laut dengan senario latihan melibatkan pesawat komersial yang hilang di perairan Miri.

Justeru itu, latihan itu juga merupakan persediaan menghadapi Fasa Peralihan Monsun yang berpotensi menyebabkan cuaca buruk yang memberikan risiko berlakunya insiden di laut.

Baca juga: