PM tiba di Vientiane untuk sidang kemuncak ASEAN

VIENTIANE: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara Laos bagi menghadiri sidang kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, beliau akan turut mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa ketua dan pimpinan kanan pelbagai negara sehingga Jumaat.

“Alhamdulillah, saya selamat tiba ke Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao malam ini (Selasa) untuk mengetuai delegasi Malaysia di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang akan membuka tirai secara rasmi esok (Rabu).

“Persidangan ini amat bermakna buat negara berikutan Kepengerusian ASEAN tahun hadapan akan diserahkan kepada Malaysia di sini. Doakan kejayaan buat delegasi negara dan semoga segala urusan dipermudahkan, Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay pada 8.37 malam waktu tempatan (9.37 malam waktu Malaysia).

Ketibaan Perdana Menteri itu disambut Menteri Pertanian dan Perhutanan Laos, Linkham Douangsavanh dan Ketua Pengarah Biro Perkhidmatan Diplomatik, Vilatsone Visonenavong.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud.

Selain sidang kemuncak ASEAN, Anwar akan menghadiri sidang kemuncak bersama tujuh rakan dialog ASEAN iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.

Anda Mungkin Berminat