Malaysia jadi tumpuan dunia akhir tahun ini dan 2025 – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM) ke-78 di One World Hotel, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Malaysia akan menjadi pusat tumpuan dunia pada akhir tahun ini dan sepanjang 2025 terutamanya ketika menjadi tuan rumah kepada beberapa mesyuarat utama ASEAN nanti.

Anwar juga menekankan kepentingan memperbaiki peraturan perniagaan untuk meningkatkan persekitaran perniagaan di negara ini.

Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama antara kaum dalam mengukuhkan perpaduan dan pembangunan negara, serta peranan strategik ACCCIM dalam sektor ekonomi.

“Dalam konteks ini, ACCCIM telah menjadi rakan strategik Kerajaan MADANI terkait sektor ekonomi dimana peranan ini jelas dapat dilihat melalui kejayaan penganjuran Kongres Usahawan Cina Sedunia (WCEC) 2024 di Kuala Lumpur pada bulan lalu,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Mseyuarat Agung Tahun ACCCIM ke-78 di Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2024. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

Selain itu, beliau menyatakan bahawa dasar Malaysia sebagai sebuah negara merdeka adalah untuk membina hubungan baik dengan pelbagai negara lain tanpa mengikut telunjuk mana-mana negara.

Anwar juga menekankan tekad Kerajaan MADANI untuk mempertingkat kualiti perkhidmatan awam dengan sokongan sektor swasta.

“Saya singgung tekad Kerajaan MADANI bagi mempertingkat kualiti perkhidmatan awam.

“Ini termasuklah tahap kecekapan, kepantasan kelulusan, perbelanjaan berhemah dan memperkemas tata kelola.

“Untuk berjaya, tekad ini turut perlu mendapat sokongan daripada sektor swasta,” katanya.

Anda Mungkin Berminat