Kerajaan Komited Perkasa Sosioekonomi, Pendidikan Orang Asli

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kerajaan komited perkukuh Masyarakat Orang Asli, khusus dalam aspek sosioekonomi dan pendidikan, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu pertemuan dengan wakil-wakil masyarakat Orang Asli yang diketuai oleh Ahli Dewan Negara, Manolan Mohamad, Anwar menggariskan pelbagai usaha kerajaan untuk memperkukuh keterlibatan komuniti ini dalam arus pembangunan negara.

Perbincangan tersebut menumpukan pada cabaran sosioekonomi yang dihadapi oleh komuniti Orang Asli serta langkah-langkah memperkasakan pendidikan.

Anwar turut menyentuh peluang bagi anak-anak Orang Asli untuk memegang jawatan dalam jabatan kerajaan sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan keterlibatan mereka.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada masyarakat Orang Asli,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook miliknya.

Pertemuan itu menunjukkan usaha berterusan kerajaan untuk memahami dan menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah wakil-wakil daripada pelbagai organisasi Orang Asli termasuk Persatuan Orang Asli Perak, Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia dan beberapa lagi.

Kerajaan komited memastikan masyarakat Orang Asli mendapat akses yang lebih baik kepada pendidikan dan peluang pekerjaan, sejajar dengan matlamat inklusif kerajaan.

Anda Mungkin Berminat