Oleh: Shafira Aziz
PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengorak langkah tegas dengan menyita tiga khemah biru berukuran 10’x10’ (10 kaki x 10 kaki) di Pantai Teluk Kemang di sini pada Sabtu dan Ahad.
Menerusi kenyataan oleh pihak MPPD, khemah-khemah tersebut dipasang tanpa kehadiran penyewa, di mana menunjukkan trend monopoli tapak perkhemahan oleh peniaga yang berleluasa.
Katanya, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan aduan pengunjung yang mendakwa tapak perkhemahan di pantai sering dikuasai peniaga secara kekal yang memaksa pelancong menyewa khemah yang telah siap dipasang.
“Tindakan penguatkuasaan sebegini dijalankan secara berkala dari semasa ke semasa secara berterusan,” katanya.
Menurut MPPD lagi, tindakan tegas seumpama ini bukanlah kali pertama, malah sembilan khemah turut disita dalam operasi serupa pada 5 dan 6 Oktober lalu.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, J Arul Kumar memberi amaran keras kepada peniaga yang tidak mematuhi peraturan.
“Khemah yang tidak digunakan perlu dibuka segera, bukan dibiarkan dipacak seolah-olah kawasan itu milik mereka,” tegasnya.
Dengan operasi berterusan ini, MPPD berharap kawasan pantai Teluk Kemang kembali mesra dan mudah diakses oleh semua pelancong tanpa gangguan atau paksaan sewa.
Pendekatan ini diharap mampu menghentikan monopoli yang telah berlarutan lebih dari 10 tahun.