Hubungan Mesra Sultan Ibrahim, Sultan Hassanal Bolkiah Perkukuh Diplomasi Dua Negara

BANDAR SERI BEGAWAN: Hubungan mesra dan rapat antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Paduka Seri Baginda Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dua negara.

Hubungan persahabatan yang terjalin sekian lama antara dua Raja Melayu itu cukup terserlah apabila Paduka Seri Baginda Sultan Brunei berkenan memandu sendiri Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dari Empire Brunei ke Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Mengiringi bersama ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Turut berangkat ialah Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mendoakan agar hubungan persahabatan serta persaudaraan Malaysia-Brunei yang terjalin erat lebih 40 tahun ini terus diperkukuhkan.

Seri Paduka Baginda bertitah bahawa hubungan akrab Diraja Malaysia dan Brunei bukan sahaja unik, malah turut kekal teguh di bawah rumpun Melayu serta Islam.

Sultan Ibrahim bertitah pertalian erat kedua-dua negara yang cukup bersejarah itu diyakni akan terus mengeratkan rangkaian kerjasama Malaysia-Brunei dalam pelbagai bidang demi kepentingan bersama.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan atas perkenan Paduka Seri Baginda Sultan Brunei menerima kunjungan baginda berdua serta sambutan mesra yang diberikan sepanjang lawatan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berangkat pulang ke Malaysia hari ini, selepas selesai lawatan negara selama tiga hari bermula 13 Oktober lalu.

Seri Paduka Baginda kemudian melintasi Barisan Pasukan Kawalan Kehormat Setempat Tentera Darat Diraja Brunei sebelum pesawat khas yang membawa Baginda berlepas pada pukul 9.30 pagi.

Brunei merupakan negara ketiga dikunjungi Seri Paduka Baginda untuk lawatan negara selepas Singapura dan China sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada 31 Januari lalu.

Dilaporkan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah selamat tiba ke tanah air selepas mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Brunei Darussalam bermula 13 Oktober lalu.

Pesawat dinaiki Seri Paduka Baginda berdua selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bharu, hari ini.