RUU Mufti tidak digubal secara tergesa-gesa – Menteri Agama

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan dakwaan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 digubal secara tergesa-gesa atau dipengaruhi pihak tertentu.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata dalam kenyataan, penggubalan RUU tersebut merupakan usaha strategik kerajaan dalam memartabatkan dan memperkasakan institusi Mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“Menerusi pemerkasaan ini, bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

RUU tersebut telah melalui proses perbincangan dan penelitian yang komprehensif sejak 2021, melibatkan penubuhan Jawatankuasa Penggubalan yang terdiri daripada wakil agensi-agensi utama seperti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia serta Jabatan Peguam Negara.

“RUU Mufti telah melalui proses penggubalan yang teliti dan panjang bagi memastikan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkuat kuasa,” jelasnya.

Menteri turut mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dengan kenyataan yang tidak berasaskan fakta kerana ia boleh mencetuskan polemik dan menggugat usaha murni kerajaan untuk meningkatkan urusan pentadbiran Islam.