Dera punca pelarian Rohingya lari dari depot secara ‘berjemaah’

Oleh: Shafira Aziz

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan hasil siasatan berhubung kes 131 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) pada 1 Februari lalu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh EAIC, laporan siasatan mendapati penderaan melampau dan kegagalan pemantauan menjadi punca utama insiden tersebut.

“EAIC mengesahkan wujud kekerasan fizikal dan mental, selain kecuaian pegawai di depot tersebut,” kata kenyataan itu.

Hasil siasatan turut mendedahkan bahawa kekerasan terhadap tahanan bukan sahaja berlaku di DISB, tetapi telah bermula sejak tahun 2020 di Kem Wawasan Langkawi.

“Beberapa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terlibat dalam penderaan berpanjangan, dan situasi ini diteruskan di beberapa depot termasuk DISB,” tambah kenyataan itu.

Dua pegawai yang pernah bertugas di Kem Wawasan Langkawi sebelum dipindahkan ke DISB dikenal pasti sebagai antara individu yang melakukan kekerasan melampau.

Selain kekerasan, siasatan mendapati kelemahan infrastruktur dan kegagalan pemantauan turut menyumbang kepada insiden pelarian besar-besaran tersebut.

Depot DISB, yang asalnya merupakan bekas Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), tidak memenuhi standard sebagai pusat tahanan.

“Ketidakpekaan pegawai dan kelemahan pemantauan di DISB memungkinkan tahanan merancang pelarian tanpa disedari,” kata kenyataan tersebut.

EAIC turut memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan lanjut.

“Pegawai yang terlibat akan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JIM untuk tindakan lanjut,” tambah kenyataan itu lagi.