53 Projek Tamu Desa KUSKOP perkasa peniaga kecil Sabah, Sarawak

Oleh: Shafira Aziz

PARLIMEN | Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus komited memperkasa peniaga kecil di kawasan desa dan luar bandar melalui pelaksanaan 53 projek Tamu Desa di Sabah tahun ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, menyatakan projek tersebut dibahagikan kepada dua fasa, dengan 36 projek dalam Fasa 1 dan 17 tapak dikenal pasti untuk Fasa 2.

“KUSKOP komited meningkatkan kemudahan infrastruktur bagi membantu peniaga kecil di Sabah dan Sarawak,” ujar Ewon semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Di Sarawak pula, 13 projek telah dimulakan dalam Fasa 1, manakala 20 projek lagi akan menyusul dalam Fasa 2.

Projek-projek tersebut mendapat peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun ini, termasuk RM1 juta khusus untuk persatuan penjaja.

“Kerjasama erat bersama kerajaan negeri memastikan program Tamu Desa ini dapat direalisasikan dengan berkesan,” tambahnya.

Sandakan turut mendapat perhatian, dengan kerja naik taraf akan dilaksanakan di Agro Bazaar Batu 32, Sandakan tidak lama lagi.

Surat pelantikan Pegawai Daerah sebagai Penguasa Projek juga telah diserahkan pada 16 Oktober 2024.

KUSKOP turut mempertimbangkan cadangan Tamu Desa di Tamu Gum-Gum, Batu 16, Sandakan untuk dimasukkan dalam pelan pembangunan tahun 2025.

“Permohonan projek boleh dikemukakan menerusi Pejabat Daerah untuk penyelarasan lanjut,” jelasnya.

Dengan fokus terhadap pembangunan Tamu Desa, usaha KUSKOP diharapkan dapat merancakkan ekonomi tempatan dan memberi peluang lebih luas kepada peniaga di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.