Aitana Bonmati Terima Anugerah Pemain Bola Sepak Wanita Terbaik

PEMAIN tengah Sepanyol dan Barcelona, Aitana Bonmati telah dinobatkan sebagai Pemain Bola Sepak Wanita Terbaik BBC 2024 (BBC Women’s Footballer of the Year 2024). 

Pengiktirafan tersebut mengukuhkan lagi statusnya sebagai salah seorang pemain terbaik dalam bola sepak wanita di peringkat global.

Bonmati memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab dan negaranya, memenangi Piala Dunia Wanita 2023 dan membantu Sepanyol menjuarai Liga Negara-Negara UEFA buat kali pertama. 

Di peringkat kelab, Barcelona meraih empat trofi utama termasuk La Liga dan Liga Juara-Juara, dengan Bonmati mencatat 19 gol sepanjang musim tersebut.

Dalam aksi akhir Liga Juara-Juara, Bonmati bukan sahaja menjaringkan gol pertama menentang Lyon tetapi juga dinamakan Pemain Terbaik Liga Juara-Juara 2023. 

Kecemerlangannya dalam menggabungkan teknik dan visi permainan menjadikannya aset penting untuk pasukannya.

“Kami kini bukan sahaja memiliki bakat, tetapi juga mentaliti untuk menang segalanya. Kami bermula setiap musim dengan impian untuk memenangi setiap trofi,” katanya ketika mengulas mengenai kejayaan Barcelona, lapor BBC. 

Walaupun menerima tawaran dari kelab luar, Bonmati menegaskan kesetiaannya kepada Barcelona. 

“Keutamaan saya sentiasa Barcelona. Saya suka mendengar tawaran lain, tetapi tidak ada tempat seperti di sini,” tegasnya. 

Dalam pada itu, engurus pasukan bola sepak Manchester City, Pep Guardiola turut memuji Bonmati dengan menyifatkannya sebagai “Iniesta versi wanita”. 

“Dia mempunyai teknik dan pemahaman permainan yang hebat. Cara dia bermain benar-benar membuatkan saya ‘jatuh cinta’,” ujarnya.