Belanjawan 2025: MTUC desak ‘gaji kehidupan’ sebab gaji minimum tidak cukup


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendapat Belanjawan 2025 sebagai peluang terbaik Kerajaan memperkenalkan dasar lebih holistik dalam menangani isu gaji pekerja.

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata bukan sahaja perlu menaikkan gaji minimum, tetapi juga untuk mempertimbangkan pelaksanaan konsep gaji kehidupan (living wages) sebagai langkah jangka panjang.

“Kenaikan kos sara hidup yang semakin mendesak menunjukkan bahawa gaji minimum semata-mata tidak lagi memadai untuk menampung keperluan asas pekerja dan keluarga mereka,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Konsep gaji kehidupan yang disarankan oleh MTUC mengambil kira pelbagai aspek kos hidup sebenar, termasuk keperluan seperti pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan perumahan.

Effendy menyatakan bahawa pelaksanaan gaji kehidupan akan memastikan pekerja dapat hidup dengan lebih bermaruah, bukan sekadar bertahan.

“Pekerja memerlukan pendapatan yang membolehkan mereka menjalani kehidupan yang stabil dan sejahtera,” tambahnya.

MTUC percaya bahawa langkah tersebut penting untuk memastikan kesejahteraan pekerja sejajar dengan tuntutan masa kini dan masa depan.