Belanjawan 2025: NUBE desak bantuan sebulan gaji buat pekerja

Oleh: Syahirah Harish

PETALING JAYA: Menjelang pembentangan Belanjawan 2025, Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) mendesak kerajaan agar mengarahkan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) untuk terus menyediakan bantuan perayaan sebanyak sebulan gaji.

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan ABM yang melanggar prinsip perjanjian kolektif bersama NUBE.

NUBE yang mewakili kumpulan B40 dan M40 dalam industri perbankan, berhadapan dengan penolakan bayaran perayaan sebulan gaji untuk tahun 2024, walaupun terdapat keuntungan rekod pada tahun 2023.

“Kami terkejut kerana bank-bank telah menolak bayaran perayaan ini dan ia menunjukkan penyalahgunaan kuasa yang jelas terhadap pekerja berpangkat rendah.

“Saya amat kesal apabila GLC yang mendahului trend ini,” kata Solomon.

Beliau juga meluahkan rasa kesal kerana ABM enggan mengadakan rundingan secara baik bersama NUBE dan menggunakan pengaruh mereka untuk mengelak perbincangan.

ABM juga didakwa telah merujuk perkara tersebut kepada Mahkamah Bahagian Pengurusan.

“Sangat mengecewakan melihat seorang CEO yang memperolehi RM52 juta setahun enggan memberi bantuan perayaan ini kepada pekerja yang memperolehi purata RM3,000,” tambahnya.

NUBE menyeru agar isu-isu yang dihadapi oleh 15,000 ahli mereka diperhalusi oleh kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2025.

Baca juga: