PTPTN Serah Sumbangan Kepada Waris Mangsa Tragedi UiTM Dungun

Oleh: Hanim Nadia

AMPANG: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Program Ziarah PTPTN Prihatin menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada waris Allahyarham Khairil Anwar Jamaludin, di Kampung Pandan Dalam pada 15 Oktober lalu.

Khairil Anwar, 20, adalah seorang daripada tiga pelajar UiTM Dungun yang maut dalam kemalangan selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh di luar pintu masuk kampus universiti itu oleh seorang wanita yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 9 Oktober lalu.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, Allahyarham merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan peminjam PTPTN.

“PTPTN juga menyerahkan surat pengesahan penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman bagi pengajian peringkat ijazah yang diterima Allahyarham berjumlah RM7,092.51.

“Keluarga mangsa turut menerima khairat kematian berjumlah RM1,500 melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN,” kata Norliza dalam satu kenyataan di Facebook.

Khairil bersama dua penuntut maut manakala seorang lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran UiTM Kampus Dangun.

Seorang wanita dihadapkan ke mahkamah untuk berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu bagi kesalahan membunuh orang, dan Seksyen 307(1) KK iaitu bagi cubaan membunuh orang.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bahru selama sebulan.

Sebutan semula kes pada 17 November depan.

Dalam pada itu, Norliza berharap agar sumbangan yang disampaikan dapat memberi kelegaan dan sokongan kepada keluarga Allahyarham.

“Setiap sumbangan yang berikan adalah tanda keprihatinan PTPTN dan harapan untuk masa hadapan yang lebih baik bagi keluarga yang terlibat,” katanya.