Shahidan Kassim Persoal Proses Mudah Kewarganegaraan

Oleh: Kamilia Ali

PARLIMEN: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan proses temuduga kewarganegaraan yang dianggap terlalu mudah dan kurang teliti dalam meluluskan status kewarganegaraan.

Beliau menegaskan bahawa temuduga permohonan kewarganegaraan diluluskan tanpa syarat ketat berkaitan penggunaan Bahasa Melayu.

“Temuduga berkaitan penggunaan Bahasa Melayu mesti diperketatkan dan wajib diadakan kursus Bahasa Melayu untuk fasih bertutur sebagai seorang rakyat Malaysia.

“Saya memohon agar kedaulatan undang-undang ini memperketatkan penggunaan Bahasa Melayu dan meminta kerajaan bahawa perkara ini perlu diberikan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bacaan kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini tertumpu kepada sesi penggulungan perbahasan dan pengundian bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan.

Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Untuk info, Rang undang-undang itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Baca juga: