Belanjawan 2025: KPM kekal terima peruntukan tertinggi RM64.1 bilion

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN | Pendidikan kekal komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan MADANI Ketiga, dengan Kementerian Pendidikan diperuntukkan RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion pada tahun 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejumlah RM2 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di seluruh negara.

Jelas beliau, ia merangkumi RM1 bilion bagi kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif di 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Sebanyak RM1 bilion khusus untuk menyelenggara semua jenis sekolah terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur. Ini termasuk di sekolah kebangsaan, sekolah cina, sekolah tamil, sekolah agama, sekolah dalam kem tentera dan sekolah pendidikan khas OKU.

“Sebanyak 44 sekolah baharu mula dibina tahun hadapan. Antaranya, SK Bandar Putra Indah, Batu Pahat, Johor, SMK Bandar Seri Putra (2), Hulu Langat, Selangor, SMK Lok Kawi, Putatan, Sabah, SMK Semeling, Sungai Petani, Kedah dan SK Dudong, Sibu, Sarawak,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi memastikan capaian internet di sekolah desa dan pedalaman di bawah Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar

Antara lain, RM100 juta juga diperuntukan untuk membaik pulih kemudahan lain seperti kantin dan musolla selepas Kerajaan berjaya membaik pulih tandas di lebih 8,300 sekolah.

Katanya lagi, peruntukan khas RM10 juta disediakan sebagai Bantuan Persekolahan kepada 687 sekolah pedalaman.

Selanjutnya, Kerajaan bersetuju Elaun Sara Hidup bagi siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru ditingkatkan kepada RM530 sebulan.