Oleh: Shafira Aziz
PARLIMEN: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi memperluas pendidikan berkaitan kecerdasan buatan (AI) ke semua universiti penyelidikan pada tahun 2025, berbanding RM20 juta pada tahun sebelumnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa langkah ini akan memastikan institusi pendidikan negara terus menuju ke arah kecemerlangan dan seiring dengan perkembangan teknologi global.
“Tahun hadapan, pendidikan berkaitan AI akan diperluas ke semua universiti penyelidikan,” kata Anwar.
Universiti-universiti terkemuka di Malaysia seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mula menunjukkan komitmen dalam mengaplikasikan AI dalam pelbagai bidang.
Kerajaan turut akan meningkatkan sokongan kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan menambah peruntukan kepada RM600 juta berbanding RM510 juta sebelum ini.
Dalam usaha menarik lebih banyak kerjasama dengan pihak industri dan sektor swasta, dana sebanyak RM170 juta akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Malaysia Science Endowment (MSE) untuk menyediakan geran padanan bagi memacu inovasi R&D.
Selain itu, program Malaysia Techlympics akan diteruskan dengan peruntukan RM10 juta sebagai usaha melahirkan bakat muda tempatan yang mahir dalam bidang robotik dan teknologi AI.
Langkah-langkah tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam landskap teknologi dan pendidikan tinggi global.
Belanjawan 2025 memberi fokus kepada tiga aspek iaitu “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”.