MAIS fatwakan ajaran GISBH sesat, pengikut perlu bertaubat

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesahkan ajaran dan pegangan yang diamalkan oleh ahli Global Ikhwan Services and Business (GISBH) adalah menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, amalan GISBH adalah bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah dari aspek akidah dan syariat.

Dengan itu, beliau menyeru mana-mana ahli GISBH yang telah mengamalkan ajaran tersebut untuk segera bertaubat.

“Mana-mana orang Islam yang telah menyertai, mengamalkan atau berpegang kepada fahaman, ajaran, pegangan atau amalan yang telah diharamkan ini hendaklah segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, MAIS turut menyatakan sokongan penuh terhadap sokongan rehabilitasi secara sukarela bagi pengikut GISBH yang ditawarkan oleh kerajaan kerana ia selaras dengan fatwa yang telah diwartakan.

“Justeru, MAIS mengalu-alukan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya untuk hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan ini,” tambahnya.

MAIS dan agensi Islam di Negeri Selangor turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama dan memberi bantuan dari aspek tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, beberapa negeri mengeluarkan kenyataan bahawa ajaran GISBH adalah sesat, antaranya Sabah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.