Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar atas kematian syahidnya.
Pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada perjuangan mempertahankan tanah Palestin dan Masjid Al-Aqsa.
“Semangat perjuangan Yahya Sinwar akan sentiasa dikenang oleh umat Islam di seluruh dunia. Semoga segala amalannya dicatat sebagai amal soleh,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kenyataan itu turut menyelar kekejaman rejim Zionis Israel yang disifatkan sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan dan zalim.
Beliau turut menggesa seluruh umat Islam untuk terus mendoakan kesejahteraan serta kekuatan bagi rakyat Palestin yang berdepan dengan penindasan.
“Seluruh umat Islam perlu bersatu hati dan berdoa agar rakyat Palestin diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” tegas beliau.
Terdahulu, Hamas pada Jumaat mengesahkan Sinwar telah syahid di Gaza ketika mempertahankan bumi Palestin dari penjajah Israel.
Ketua Biro Politik Hamas yang baharu, Khalil Hayyah menerusi satu video mengesahkan Sinwar yang berudia 62 itu telah terbunuh dalam pertempuran dengan tentera rejim zionis Israel di Rafah, pada Khamis.