TNB buat pemeriksaan berkala pastikan stesen janakuasa, empangan hidroelektrik dalam keadaan selamat

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan semua stesen janakuasa termasuk empangan hidrolektrik miliknya kekal kukuh dan selamat menjelang musim tengkujuh.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Ir Muhamad Nazri Pazi berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan berkala secara bulanan terhadap semua empangan hidroelektriknya dan melaksanakan audit integriti struktur setiap enam bulan.

Menurutnya, langkah itu untuk memastikan keadaan struktur yang utuh dan dapat berfungsi dengan baik selain mengenalpasti sebarang potensi risiko yang mungkin timbul.

Malah katanya, pemeriksaan itu dijalankan dengan teliti oleh anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Genco dan berdasarkan garis panduan di Malaysia iaitu Malaysia Dam Safety Management Guidelines (MyDams, 2017).

“Langkah tersebut membolehkan empangan TNB kekal utuh bukan sahaja untuk membekalkan bekalan elektrik kepada grid nasional, malah berfungsi sebagai sistem tebatan banjir dan sumber bekalan air untuk kegunaan domestik termasuk air bersih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nazri berkata, penilaian keselamatan empangan (Dam Safety Review) oleh pakar empangan bebas turut dilaksanakan setiap lima tahun selaras dengan garis panduan antarabangsa International Commission on Large Dam (ICOLD).

Menerusi pemeriksaan ini katanya, pakar-pakar empangan dilantik untuk memeriksa dan menilai keadaan integriti empangan dan struktur yang berkaitan.

“Tujuannya adalah untuk memastikan struktur seperti alur limpah (spillway), muka sauk (intake), empangan pelana (saddle dam) dan sebagainya berfungsi dengan baik dan kukuh serta juga menilai keadaan empangan dalam menjamin keselamatan dan integritinya.

“Amalan penyelenggaraan itu merangkumi Stesen Janakuasa Sungai Perak, Kenyir dan Cameron Highlands terutamanya menjelang musim tengkujuh,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat