Mayat lima mangsa perahu karam ditemui

KUCHING: Lima mangsa terlibat dalam insiden bot regata karam semasa sesi latihan di Sungai Sarawak pada Jumaat lepas ditemukan lemas pagi ini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, semua mangsa ditemui terapung di muara Sungai Sarawak secara berperingkat antara jam 6.16 pagi hingga 7.0 pagi.

“Dua mangsa ditemukan pada jam 6.16 pagi, satu lagi pada 6.40 pagi, Sarawak Coastguard menemui seorang lagi pada 7.07 pagi, manakala mangsa terakhir ditemukan pada 7.09 pagi dengan bantuan dron,” katanya lapor media tempatan.

Mangsa terbabit ialah Mohamad Ikhmal Sama’ail, 34, Majurie Maharuf, 32, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, 26, Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, 23 dan Mohamad Khairul Bidin, 26.

Semua mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.

Mangsa adalah kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak.

Dalam kejadian 3.40 petang Jumaat lalu, mangsa bersama 11 lagi rakan sepasukan menjalani latihan perlumbaan perahu sebagai persediaan untuk menyertai Regata Sarawak pada 1 hingga 3 November ini.

Bagaimanapun, perahu panjang dinaiki mereka karam selepas dibadai gelombang yang terhasil oleh kapal nelayan dari arah bertentangan.

Anda Mungkin Berminat