Dapat peruntukan tertinggi, NUTP minta baik pulih kuaters guru

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Sektor pendidikan kekal menerima peruntukan tertinggi dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini, namun masih ada kelompongan yang boleh ditambah baik.

Menurut Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon, peningkatan peruntukan daripada RM58.7 bilion pada tahun ini kepada RM64.1 bilion untuk tahun depan amat dipuji, namun dalam masa sama tidak disebut berkenaan kuaters warga pendidik yang rata-ratanya semakin usang.

“Terdapat beberapa aduan berkenaan kuaters guru yang kritikal setakat ini, masih tiada tindakan penyelenggaraan yang sempurna buat guru-guru yang berkhidmat di sesetengah kawasan.

“Saya mendapat aduan beberapa kuaters guru yang berpenghuni dan diperlukan di beberapa lokasi yang tertentu, masih tiada penyelenggaraan yang sempurna.

“Kami (NUTP) berharap agar KPM akan memberikan bantuan dan sokongan bagi memberi keselesaan serta kesejahteraan kepada guru yang tinggal di kuaters tersebut. Ini kerana mereka juga membuat potongan elaun perumahan mereka bagi menduduki kuaters tersebut, namun keadaan kuarters itu masih tidak diselenggara dengan sempurna,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit hari ini.

Selain itu, beliau turut berkata, aktiviti sukan kokurikulum yang diadakan di sekolah-sekolah memerlukan kos yang agak tinggi dan disebabkan oleh itu, guru-guru yang menguruskan aktiviti tersebut mengalami kekangan kewangan.

“Ada sesetengah daerah yang menganjurkan aktiviti sukan dan kokurikulum ini terpaksa mengutip duit daripada pihak sekolah kerana kos penganjuran yang amat tinggi.

“Pihak KPM perlu lihat semula tentang peruntukan sukan ini bagi memudahkan kelancaran aktiviti sukan dan kokurikulum yang dianjurkan di sekolah-sekolah,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa bidang pendidikan menerima peruntukan sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion pada tahun 2024 dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju Elaun Sara Hidup bagi siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru ditingkatkan kepada RM530 sebulan.