Polis masih siasat bunyi letupan dan gegaran misteri di Ipoh


Oleh: Shafira Aziz

IPOH: Orang ramai di sekitar bandaraya ini digemparkan dengan bunyi letupan dan gegaran sekitar 11.06 pagi tadi, mencetuskan tanda tanya mengenai punca kejadian tersebut.

Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Azizi Mat Aris memaklumkan bahawa siasatan segera telah dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk dan mengenal pasti sumber insiden.

Menurutnya, siasatan awal dengan beberapa agensi berkaitan mendapati tiada aktiviti letupan atau sebarang latihan yang dijalankan pada waktu tersebut.

“Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta memaklumkan bahawa tiada latihan atau ujian letupan dilakukan hari ini.

“Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga mengesahkan tiada aktiviti letupan kuari sebelum pukul 12 tengah hari,” jelasnya dalam kenyataan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengesahkan bahawa tiada sebarang aktiviti seismik dikesan di sekitar Ipoh, meskipun pada waktu hampir sama terdapat gempa bumi yang berlaku di Halmahera, Indonesia, pada jam 11.24 pagi.

Polis kini giat menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar insiden ini.

“Kami menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi Pusat Kawalan Kontinjen Perak di talian 05-2451119 atau 05-2451073,” tambahnya.

Beliau turut menasihatkan agar orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mencetuskan kekeliruan dan kegusaran awam.

Keadaan semasa masih terkawal dan polis menegaskan bahawa langkah proaktif sedang diambil bagi menyelesaikan misteri bunyi letupan dan gegaran ini.