‘Kain seragam keras, ibarat kain kafan’ – Guan Eng

PARLIMEN | Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, hari ini mengemukakan keluhan daripada jururawat kerajaan yang mendakwa menerima kain seragam berkualiti rendah, sehingga ada yang membandingkannya dengan kain kafan.

Lim, yang juga bekas Menteri Kewangan, menyatakan isu ini dibangkitkan oleh Ahli Dewan Negara, Dr R A Lingeshwaran, yang sebelum ini mendedahkan kes kartel pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bernilai puluhan juta ringgit.

“Saya ingin bangkitkan aduan daripada jururawat mengenai kain yang diterima yang sangat keras sehingga kedai jahit pun tak sanggup terima kain tersebut kerana takut jarum mesin jahit akan patah.

“Ada juga yang mengeluh kain diterima cepat jadi kuning sehingga dimarahi ‘matron’ (ketua jururawat) mereka.

“Saya timbulkan kes ini kerana ada jururawat yang memberi sedekah (kain untuk uniform yang diterima itu) untuk digunakan sebagai kain kafan,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa ramai jururawat terpaksa menerima kain tersebut hanya untuk mendapatkan bantuan upah jahit.

“Jika mereka menolak kain ini dan membuat aduan, mereka tidak akan menerima bantuan upah jahit bernilai RM690 untuk tiga pasang pakaian seragam,” tambahnya.

Guan Eng juga menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberikan maklumat lanjut kepada Dewan Rakyat mengenai kontraktor yang membekalkan kain berkualiti rendah kepada petugas kesihatan kerajaan.

“Bolehkah KKM memberi butiran mengenai kontrak pembekalan ini, khususnya harga tender untuk bekalan kain putih bagi jururawat dan pembantu perawatan, nama syarikat pembekal, dan tindakan yang diambil terhadap syarikat tersebut?

“Ini termasuk denda dan sistem pemantauan yang membenarkan penerimaan pakaian yang bermutu rendah. Kita harus jaga anggota ‘fronliners’ (petugas barisan hadapan ini yang mengorbankan diri demi keselamatan kita semasa COVID-19) dan mereka tidak seharusnya menerima barang yang begitu mengecewakan ini,” katanya.

Melalui Belanjawan 2025 yang dibentangkan Jumaat lalu, sektor kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar, iaitu RM45.5 bilion, yang diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan petugas kesihatan.