Lelaki maut jatuh dari tingkat lapan

Oleh: Kamilia Ali

BAYAN LEPAS: Satu kemalangan maut disyaki melibatkan seorang pekerja lelaki warganegara asing terjatuh dari tingkat lapan di sebuah tapak pembinaan di sini, semalam.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang memaklumkan, mangsa terjatuh semasa keluar dari kelengkapan akses gantung jenis sementara (gondola) ke tingkap tingkat lapan.

“Daripada siasatan awal yang dijalankan, mendapati mangsa merupakan pekerja kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja-kerja mengecat dan plaster di tapak pembinaan tersebut.

“Mangsa disyaki terjatuh dari tingkat lapan semasa sedang melompat keluar dari kelengkapan akses gantung jenis sementara ke tingkap tingkat lapan dan terus jatuh ke bawah.

“Difahamkan, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” jelasnya.

Susulan kejadian itu, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan notis pemberhentian serta merta ke atas penggunaan kelengkapan akses gantung jenis sementara (gondola) untuk kerja-kerja di tempat tinggi di kawasan tapak pembinaan tersebut.

Dalam masa yang sama, pihak jabatan juga mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada jabatan.

Justeru, JKKP Pulau Pinang memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor dan sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di negara ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat