MP PAS minta IPTA di Tumpat

Oleh: Syahirah

PARLIMEN | Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi, menegaskan bahawa Tumpat, dengan lebih 200,000 penduduk, masih belum mempunyai institusi pengajian tinggi (IPT), meskipun keperluan pendidikan semakin mendesak.

Beliau menggesa kerajaan agar memberikan perhatian serius terhadap perkara ini, memandangkan kekurangan ini boleh menjejaskan pembangunan sumber manusia di kawasan tersebut.

“Saya mohon kepada pihak kerajaan memastikan bahawa pembangunan dan keseimbangan dari segi pembangunan insan ini harus didapati dan diseimbangkan dengan memberikan peruntukan yang sama, terutamanya institusi pendidikan kepada rakyat,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, beliau memohon agar Kerajaan memberikan penjelasan berkenaan pembinaan Jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai yang telah disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Jambatan yang dimaksudkan antara Pengkalan Kubor dan Tak Bai adalah dua perkara berbeza kerana kedua-duanya terletak di kawasan daratan.

“Perkara ini sangat memerlukan penjelasan kerana sekiranya penjabatan ini ditubuhkan ataupun dibina dengan segera ia akan membuka laluan baru perdagangan dan kerjasama serantau sekali gus menghidupkan bandar-bandar sempadan,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan dapat memberikan tumpuan kepada pembangunan di Tumpat, bukan sahaja dari segi infrastruktur pendidikan, tetapi juga projek lain seperti Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor serta Hospital Tumpat.