PM: Noktahkan miskin tegar tidak kira kaum

Oleh: Kamilia Ali

PARLIMEN | Pendekatan kerajaan dalam usaha noktahkan miskin tegar dan membasmi kemiskinan dilaksanakan tanpa mengira kaum, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Beliau mengakui bahawa walaupun majoriti golongan miskin terdiri daripada masyarakat Melayu, namun yang paling terkesan dan berada dalam kategori termiskin adalah kaum India.

“Sebagai contoh, bila kita selesaikan miskin tegar di Kuala Lumpur, kita tidak ikut kaum maknanya semua masyarakat miskin tegar (membabitkan) Melayu, jumlah kecil masyarakat Cina, tapi besar (jumlahnya) dalam masyarakat India. Itu diselesaikan.

“Tidak benar dikatakan hanya untuk Melayu tapi tentunya majoriti ialah masyarakat Melayu. Saya harap penjelasan ini jelas dan jika ada kenyataan sebaliknya, maklum pada saya kerana ia bertentangan dengan dasar kita.

“Siapa saja yang masuk golongan miskin tegar, asalkan warganegara ia wajib dibantu tanpa diskriminasi,” jelasnya dalam Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan S Kesavan (PN-Sungai Siput) yang meminta Perdana Menteri noktahkan kemiskinan semua kaum kerana walaupun majoriti paling miskin adalah daripada kaum Melayu, namun kategori termiskin dalam kalangan yang miskin adalah daripada kaum India.