Remaja maut di kolam renang


Oleh: Shafira Aziz

KUCHING: Seorang remaja lelaki tempatan berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia dalam tragedi lemas di kolam renang kondominium di kawasan dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata seorang lagi mangsa dalam kejadian sama berjaya diselamatkan dan kini menerima rawatan di zon kuning Hospital Umum Sarawak.

“Kami menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.59 malam daripada Response Centre Kuching MERS 999, memaklumkan dua orang mangsa lemas di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mangsa yang diselamatkan diberi rawatan segera, manakala mangsa kedua, yang tidak sedarkan diri, diberikan bantuan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh pasukan perubatan sebelum dikejarkan ke hospital.

Malangnya, mangsa kedua disahkan meninggal dunia pada jam 9.30 malam ketika menerima rawatan di zon merah.

“Polis kini menyiasat kes ini sebagai kes mati mengejut dan meminta kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat,” tambahnya.

Saksi kejadian turut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Simon Renang, di talian 016-8547803 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Mohd Farhan turut mengingatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati semasa menjalankan aktiviti air.

“Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah keselamatan sewajarnya, terutama ketika berada di kolam renang, bagi mengelakkan insiden sebegini daripada berulang,” ujarnya.