Syed Saddiq puji Anwar naikkan sumbangan basmi kemiskinan

Oleh: Kamilia Ali

PARLIMEN | Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuji inisiatif kerajaan dengan peningkatan sumbangan tunai RM10 bilion kepada RM13 bilion dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata hal ini boleh memberi ruang agar lebih ramai dapat bantuan.

“Saya rasa melalui Belanjawan 2025, jelas inisiatif untuk membasmi kemiskinan itu segar dan baik.

“Jumlah RM sumbangan tunai RM10 bilion ke RM13 bilion untuk membasmi kemiskinan dan juga peningakatan nilai ambang supaya lebih ramai memohon mendapatkan bantuan,” ujarnya dalam Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sebelum itu, Saddiq meminta penjelasan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mana jumlah penjimatan disalurkan.

Menjawab soalan tersebut, Anwar menjelaskan bahawa unjuran penjimatan setakat ini hanya yang disebut dalam Belanjawan 2025.

“Tentang penjimatan, mungkin lebih, mungkin kurang tetapi setakat ini kita belum tetapkan melainkan RM3 bilion untuk kelompok miskin melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau kepada rakyat umumnya dengan meningkatkan jumlahnya, dan juga peningkatan untuk pendidikan dan kesihatan agak lebih ketara.

“Memang ada peningkatan walaupun masih defisit. Kita masih kurangkan defisit, hutang kita kurangkan tetapi kita masih ada peningkatan. Peningkatan itu, sebenarnya daripada penjimatan dan pendapatan negara. Baik hasil dan juga penjimatan dan penyasaran subsidi,” jelasnya.

Syed Saddiq kemudiannya memberi cadangan pindaan Undang-Undang supaya peningkatan dapat dibuat secara berkala dan tidak perlu pengumuman dibuat dalam setiap belanjawan.

Anwar kemudian memberi jawapan bahawa Kerajaan akan mengkaji mengenai penetapan undang-undang dan melihat keperluan berdasarkan kenaikan kos sara hidup.