Oleh: Syahirah Harish
KLANG: Polis kini mengesan tiga lelaki yang didakwa menceroboh masuk ke sebuah rumah kediaman dipercayai untuk melakukan kerja ‘menarik’ sebuah kereta di kawasan Meru, di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao memaklumkan pihaknya telah menerima laporan kejadian daripada seorang wanita tempatan pada pukul 11.33 malam tadi.
Tiga lelaki tempatan yang menaiki lori tunda didakwa telah memasuki kawasan parkir rumah pengadu dengan mengangkat pintu pagar untuk mengambil kereta miliknya.
“Siasatan awal mendapati kereta tersebut telah tertunggak bayaran bulanan selama lebih kurang enam bulan.
Bagaimanapun, suspek gagal menunjukkan dokumen sah daripada bank bagi proses penarikan kereta,” ujarnya dalam kenyataan rasmi.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan usaha untuk mengesan ketiga-tiga suspek sedang dijalankan.
Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan kes.
Baca juga: