ANKARA: Satu serangan telah dilaporkan berlaku pada 23 Oktober 2024 di ibu pejabat syarikat aeroangkasa dan pertahanan Türkiye, Turkish Aerospace Industries (TAI) yang terletak di Kahramankazan, 40 kilometer di utara Ankara.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, serangan tersebut mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan tersebut dan merakamkan setinggi-tinggi ucapan takziah serta simpati kepada Kerajaan Republik Türkiye dan keluarga mangsa yang terkorban.
“Malaysia juga berharap agar mereka yang cedera segera sembuh,” katanya.
Pada masa yang sama, kedutaan Besar Malaysia di Ankara sedang memantau rapat perkembangan kes tersebut.
“Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam serangan berkenaan.
“Semua rakyat Malaysia di Türkiye dinasihatkan untuk kekal tenang, waspada, dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan dua penyerang membunuh lima orang dan mencederakan 22 yang lain dalam serangan tersebut.