Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyalurkan bantuan dan insentif kepada para pesawah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM54.4 juta, khusus untuk Sabah.
Menurut kenyataan KPKM, seramai 15,000 pesawah dari Nabawan, Keningau, Tenom, dan Tambunan menerima bantuan tersebut sebagai langkah meningkatkan hasil padi.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, KPKM turut menyediakan geran pembangunan sebanyak RM4.1 juta kepada Sabah.
“Peruntukan pembangunan ini berada di bawah Peruntukan Pembangunan Rolling Plan ke-4 (2024) Lembaga Pertubuhan Peladang.
“Geran ini digunakan untuk membiayai pelbagai projek pembangunan Pertubuhan Peladang serta Usahawan Peladang bagi meningkatkan pengeluaran agro makanan di Sabah,” jelasnya.
Beliau turut berkata, Belanjawan 2025 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan sebanyak 4.1 peratus adalah cerminan tekad kerajaan dalam membantu meningkatkan produktiviti sektor agro makanan.
“Sehubungan itu, KPKM meneruskan subsidi, insentif dan bantuan untuk pesawah bagi tahun 2025, termasuk subsidi padi dan insentif pesawah yang meningkat daripada RM2.46 bilion pada tahun 2024 kepada RM2.60 bilion pada tahun 2025.
“Sejajar dengan perkara tersebut, LPP turut menyalurkan RM13 juta kepada pesawah di pedalaman atas, sejajar dengan Bantuan Khas Sumbangan Tunai Fasa 1 Tahun 2024,” katanya.
Beliau menyeru agar para pesawah di negeri Sabah, khususnya yang berdaftar dengan Pertubuhan Peladang kawasan untuk menyertai Skim Tanaman Takaful Padi (STTP) yang menawarkan perlindungan takaful RM3,000 bagi setiap hektar tanaman padi yang rosak.
Baca juga: