Oleh: Shafira Aziz
KUALA LUMPUR: Anugerah Enterprise 50 (E50) diiktiraf sebagai pemangkin untuk memacu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) negara menuju ke pasaran modal dan peringkat antarabangsa.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, menekankan bahawa anugerah ini berperanan penting dalam membantu PMKS mengembangkan potensi mereka ke tahap lebih tinggi.
“Sejak diperkenalkan, E50 berjaya melahirkan 763 alumni dan 67 daripadanya kini tersenarai di pasaran modal.
“Ini membuktikan syarikat-syarikat PMKS boleh berkembang lebih jauh hingga menjadi syarikat multinasional,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah di Grand Ballroom Hotel Mandarin Oriental, di sini.
Beliau berharap pengiktirafan ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan untuk mencapai kejayaan.
“Terdapat 1.1 juta syarikat PMKS berdaftar di Malaysia, namun hanya 50 syarikat terbaik menerima anugerah ini.
“Ini pencapaian yang membanggakan dan patut menjadi motivasi kepada semua usahawan di seluruh negara,” ujarnya.
Ewon juga menegaskan bahawa kementeriannya akan terus menyokong perkembangan PMKS melalui pelbagai inisiatif yang dirancang dalam belanjawan tahunan dan dasar keusahawanan negara.
Beliau turut optimis dengan sumbangan PMKS terhadap ekonomi negara melalui peningkatan eksport.
“Kami menyasarkan PMKS untuk menyumbang sebanyak 15 peratus kepada nilai eksport negara dengan pengantarabangsaan produk dan perkhidmatan,” jelasnya.
Turut hadir dalam majlis, Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, serta Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy.