Polis buka kertas siasatan Himpunan Jalur Gemilang di Teluk Intan


Oleh: Shafira Aziz

TELUK INTAN: Perhimpunan anjuran gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Dataran Menara Condong di sini tidak dimaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Azizi Mat Aris, mengesahkan bahawa perhimpunan tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kami menerima aduan sekitar pukul 6 petang daripada anggota polis yang bertugas di lokasi.

“Lebih kurang 400 orang berkumpul sambil mengibarkan 200 bendera Jalur Gemilang diiringi lagu-lagu patriotik. Siasatan awal mendapati individu yang memberi ucapan adalah Pesuruhjaya PAS Perak,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Perhimpunan itu, yang bertujuan memupuk semangat patriotik, bagaimanapun tidak memenuhi syarat pemakluman kepada polis seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menganjurkan perhimpunan tanpa kebenaran bagi mengelakkan gangguan ketenteraman awam.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 di bawah Seksyen 9(5) akta yang sama,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kertas siasatan sedang dilengkapkan dan individu yang terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Kami akan memohon Order to Investigation (OTI) bagi meneruskan siasatan,” tambahnya.

Walaupun perhimpunan itu bertujuan positif, pihak polis menekankan bahawa undang-undang perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Terdahulu, seramai 17 peserta warga China yang terlibat dalam sambutan Guan Gong Sedunia, Stesen Malaysia dan mengibarkan bendera asing ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan kelmarin telah diambil keterangan.

Polis memaklumka video yang turut tular di media sosial telah melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia pada Jumaat telah memohon maaf atas insiden tersebut sementara Pengerusinya, Soon Boon Hua berkata tindakan mengibarkan bendera negara asing tersebut tidak dirancang dalam tentatif acara oleh pihak pengelola

Anda Mungkin Berminat