Nasional

Hilang minat membaca punca banyak kedai buku gulung tikar

Kehilangan budaya dan minat membaca kalangan masyarakat dikatakan antara faktor puluhan kedai buku di seluruh negara terpaksa mengibar ‘bendera putih’ pada tahun ini.

Menurut Presiden Persatuan Penjual Buku Malaysia, Keith Thong, penutupan kedai buku turut memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat terutama di luar bandar.

“Kami menjangkakan bilangan kedai buku yang ditutup di seluruh negara akan meningkat pada masa depan berikutan perubahan trend masyarakat yang lebih suka meluangkan masa dengan gajet.

“Kebanyakan pemilik mendakwa terpaksa menutup kedai buku selepas mengambil kira perubahan teknologi pada hari ini yang menawarkan pelbagai perkhidmatan.

“Hanya kedai buku yang berkonsep berbeza saja mampu bertahan dan menambah cawangan di seluruh negara sebaliknya kedai buku kecil dan lama menggulung tikar.

“Ia menunjukkan sesebuah kedai buku yang memiliki tarikan tambahan termasuk jualan peralatan sekolah, ruang duduk yang menarik dan sebagainya masih mendapat sambutan,” katanya pada Khamis.

Keith merangkap Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia (MBIC) itu juga memberitahu, antara faktor budaya membaca yang rendah di negara kita adalah disebabkan pengaruh media sosial.

Menurutnya, kelebihan mudah akses kepada bahan bacaan secara dalam talian walaupun bahan berkenaan ringkas dan kurang lengkap.

Katanya, tidak menafikan selain budaya membaca yang rendah, faktor lain adalah kuasa membeli dalam kalangan masyarakat juga semakin berkurangan.

“Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding rakyat luar negara yang gemar membaca buku dan memperuntukkan lebih banyak masa dan wang bagi tujuan itu.

“Ini menunjukkan perlunya usaha yang lebih konstruktif daripada semua pihak khususnya ibu bapa untuk memupuk minat dan amalan membaca bahan-bahan bacaan berfaedah kepada anak-anak dan pelajar sekolah.

“Malah diharap kerajaan memberi penekanan untuk menambah peruntukan pembelian bahan bacaan di seluruh negara demi membina modal insan berkualiti,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close