Que Haidar, Linda Jasmine sah cerai

PELAKON, Que Haidar mengesahkan bahawa dia dan isterinya, Linda Jasmine, telah bercerai selepas 15 tahun mendirikan rumah tangga.

Que, atau nama penuhnya Tengku Iskhan Sha Tengku Haidar, 45, memaklumkan bahawa mereka berpisah secara sah pada 2 Julai lalu dengan talak satu.

Menurut Que, dia dan Linda menerima perpisahan ini sebagai ketentuan Allah SWT.

Walaupun jodoh mereka tidak panjang, hubungan baik antara mereka tetap dipelihara, terutama demi kepentingan anak-anak.

“Allahuakbar, Alhamdulillah atas penceraian yang Allah aturkan. Saya minta semua doakan yang terbaik untuk saya dan Linda. Kami masih berkawan demi anak-anak,” katanya, lapor Ohmedia.

Bagaimanapun, Que memilih untuk tidak mendedahkan sebab perpisahan mereka kerana menganggap ia terlalu peribadi.

“Ini urusan rumah tangga, bukan untuk dibanggakan. Lebih baik simpan sendiri dan fokus pada kebaikan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, meskipun sudah berpisah, mereka berdua terus memberi sokongan antara satu sama lain dan menekankan bahawa tiada keperluan untuk berkongsi lebih banyak perkara mengenai perpisahan mereka.

“Kami masih saling menyokong demi apa yang terbaik untuk anak-anak dan diri kami sendiri,” katanya.

Que juga bersyukur kerana anak-anak mereka, Ratu dan Cleopatra, dapat menerima keadaan ini dengan matang.

“Alhamdulillah, hubungan kami masih baik dan anak-anak juga terima semua ini tanpa sebarang masalah,” tambahnya.

Untuk rekod, Que dan Linda berkahwin pada 14 Februari 2009 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12 tahun.

Linda juga mempunyai seorang anak lelaki, Qalif Khan, hasil daripada perkahwinan terdahulu sebelum mendirikan rumah tangga bersama Que.

Anda Mungkin Berminat