Industri permainan digital cecah RM45 juta

Oleh: Shafira Aziz

PARLIMEN | Industri permainan digital tempatan terus menunjukkan potensi besar dengan mencatat hasil jualan dan eksport sebanyak RM45 juta. didorong oleh inisiatif kerajaan melalui sokongan dana dan program pembangunan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menekankan bahawa pencapaian ini mencerminkan keberkesanan kerjasama antara sektor awam dan industri permainan dalam memperkukuh ekonomi digital negara.

“Industri ini tidak hanya berfungsi sebagai medium hiburan tetapi juga menjadi pemangkin ekonomi negara melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan eksport,” jelasnya dalam Persidangan Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga pada Isnin.

Sehingga kini, 60 projek permainan digital telah menerima dana sebanyak RM36.7 juta di bawah pengawasan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sekaligus membuka lebih 700 peluang pekerjaan.

Dalam memastikan permainan digital Malaysia mendapat pendedahan lebih luas, MDEC juga menyediakan peluang akses pasaran menerusi acara berprestij antarabangsa seperti Games Developer Conference di Amerika Syarikat dan Tokyo Game Show di Jepun.

“Ini bukan sahaja membantu syarikat tempatan mempromosikan produk mereka, tetapi juga membuka ruang kerjasama dengan penerbit dan pengedar antarabangsa,” tambahnya.

Selain promosi di luar negara, industri ini turut didukung melalui acara tempatan seperti Level Up KL dan Jelajah Saya Digital, yang berperanan penting dalam merapatkan rangkaian perniagaan serta pemain industri kandungan digital di Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan mengenai hasil jualan permainan digital tempatan.

Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan dan program pembangunan komprehensif, industri permainan digital Malaysia diunjur berkembang pesat dan terus menyumbang kepada ekonomi digital negara.

Anda Mungkin Berminat