PM: Syarikat gergasi wajar tingkat kemahiran pekerja

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Kemahiran pekerja wajar ditingkatkan menerusi pusat kecemerlangan dan latihan dengan menumpukan bidang automotif, pendigital dan teknologi buatan (AI).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan kemahiran (upskilling) pekerja boleh melahirkan ekosistem logistik yang mantap kepada pelabur.

“Apabila disebut ekosistem logistik, ini bukan sahaja urusan DHL, maknanya, rakan-rakan kita yang berkaitan, sama ada Malaysia Airlines Berhad (MAB), Kementerian Pengangkutan, kastam, Imigresen, dan seluruhnya akan diambil kira.

“Namun, DHL sebagai sebuah syarikat gergasi, seharusnya mampu memberi keupayaan anak-anak muda dalam bidang ini, sejajar dengan logistik ekosistem.

“Harini kita menyaksikan satu bentuk perkembangan kemudahan DHL sehingga menjadikan sebagai gateway baharu yang penting di rantau ini,” katanya ketika berucap sewaktu majlis Perasmian DHL Express Expanded dekat sini pada Isnin.

Anwar turut menyatakan ia berkait rapat dengan Belanjawan 2025 yang memberi penumpuan kepada pengurusan logistik di Malaysia yang kini dianggap semikonduktor hub bagi rantau dunia.

“Apabila pelabur masuk, mereka akan melihat keupayaan ekosistem keseluruhan. Sebab itu, saya mahu, kementerian dan rakan-rakan dapat memberi tumpuan yang lebih kepada bidang ini.

“Hal ini kerana, tahap kepesatan perubahan itu terlalu cepat. Kalau jentera kita lembap, maka kita akan ketinggalan,” jelasnya.

Anda Mungkin Berminat