Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Demi memastikan penggunaan platform media sosial lebih selamat untuk rakyat Malaysia, kerajaan komited bertindak tegas dalam menangani jenayah siber yang berleluasa kini.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menegur pihak Meta Corporation kerana gagal menangani jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming), khususnya di aplikasi Facebook.
“Meta perlu jauh lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial Meta yang menjurus kepada aktiviti jenayah seksual tersebut.
“Kerajaan MADANI akan terus pastikan platform media sosial tegas dalam menangani jenayah dalam talian demi internet yang lebih selamat untuk semua terutama kanak-kanak dan keluarga,” katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Menurutnya, pertemuan bersama pihak Meta semalam membincangkan kesiapsiagaan semua pihak bagi penguatkuasaan pelesenan platform media sosial dan sistem pemesejan internet bermula 1 Januari 2025.
Katanya, pihak Meta menyuarakan pandangan mengenai pematuhan yang perlu dipenuhi untuk melaksanakan syarat-syarat ditetapkan, termasuk Kod Tatalaku dan Akta Keselamatan Dalam Talian belum mereka teliti sepenuhnya.
“Saya telah mengingatkan Meta bahawa niat kerajaan mengenakan lesen ini adalah untuk menangani isu jenayah yang berhijrah ke media sosial, termasuk ‘scam’ (penipuan), judi dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Namun saya beri komitmen untuk mendengar pandangan semua platform media sosial, memandangkan lesen yang bakal dikenakan adalah lesen kelas (Class License),” jelasnya.
Lesen tersebut telah dikenakan kepada semua platform yang memenuhi syarat-syarat di samping mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia.
Justeru, Meta telah bersetuju untuk menyediakan maklum balas kepada draf Kod Tatalaku yang telah diterbitkan pada 22 Oktober lalu dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada awal minggu hadapan untuk meneliti beberapa aspek dengan lebih terperinci.
Baca juga: