Graduan baru impi gaji lumayan, netizen minta pijak di bumi nyata

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Selesai sahaja konvokesyen, kebanyakan graduan mengimpikan gaji yang lumayan mengikut bidang yang mereka ambil.

Jangkaan mereka, RM3,000 ke atas.

Dua hari lalu, tular video universiti tempatan yang memaparkan pelajar lepasan ijazah sarjana muda dan diploma yang baru bergraduasi disoal mengenai anggaran tawaran gaji yang sesuai apabila masuk ke alam pekerjaan kelak.

Menerusi video berdurasi 1 minit 43 saat itu, rata-ratanya pelajar menjangkakan tawaran gaji yang bakal diterima bermula sekitar RM2,500 sehingga RM5,000.

“Bagi saya anggaran gaji sesuai untuk lepasan ijazah macam saya adalah RM3,000 ke atas,” kata salah seorang graduan.

“Berdasarkan kemahiran, pengalaman, bidang saya ambil… saya rasa RM5,000,” itu pandangan salah seorang graduan yang ditemubual.

Walaupun itu jangkaan mereka setelah bergraduasi, netizen di ruangan komen dilihat tidak bersetuju sekiranya mereka mengimpikan gaji sebanyak RM5,000 dan ke atas.

Rata-ratanya berpesan kepada mereka untuk berpijak di bumi yang nyata kerana terlalu banyak persaingan dan keadaan ekonomi yang kian mencabar pada masa kini.

“Lepasan diploma minta RM5,000… Gila,” balas seorang pengguna media sosial.

“Nanti dah dapat kerja, tengok balik video ini ya. Realiti tak seindah anggaran,” nasihat seorang pengguna.

Dalam satu laporan Khazanah Research Institute (KRI), persepsi anak muda terlalu memilih dan meminta gaji yang tinggi dalam bidang pekerjaan adalah sama sekali tidak benar.

Berdasarkan satu Laporan Kajian Peralihan dari Sekolah ke Pekerjaan (SWTS) yang telah dijalankan oleh KRI, banyak anak muda masih menerima gaji yang lebih rendah daripada paras gaji reservation.

“Gaji reservation ini adalah gaji minimum yang sanggup diterima oleh anak muda untuk mendapatkan kerja. Jika ditawarkan nilai yang lebih rendah daripada gaji reservation ini, maka mereka akan menolak pekerjaan tersebut.

“Untuk pekerja muda, nilai gaji reservation ini ialah RM1,555 sebulan manakala untuk golongan yang mencari kerja, gaji reservation ini diletakkan pada paras RM1,715.

“Ini bermaksud, sebenarnya gaji yang diminta oleh anak muda dan pencari kerja adalah pada paras yang rendah sahaja. Mungkin terdapat ramai tenaga buruh asing yang menerima gaji lebih tinggi daripada nilai ini,” menurut kajian itu.

Anda Mungkin Berminat