Oleh: Ahmad Firdaus
ULASAN | PENGUMUMAN Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 membawa mesej jelas, pertumbuhan ekonomi perlu dinikmati oleh setiap pekerja yang menyumbang kepada kemajuan negara.
Namun apakah tindakan ini benar-benar mencerminkan realiti ekonomi yang berdaya tahan atau hanya menambah beban pada bahu majikan?
Sepanjang 2010 hingga 2019, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang kukuh sekitar empat hingga enam peratus tidak sejajar dengan kenaikan gaji yang hanya mencatat dua hinggan empat peratus. Situasi ini mencerminkan bagaimana majikan menikmati hasil keuntungan tanpa berkongsi kekayaan dengan pekerja.
Ketika pandemik melanda pada 2020, ketidakseimbangan ini lebih ketara apabila KDNK jatuh -5.6 peratus, tetapi gaji purata menyusut lebih besar hingga -9 peratus.
Bagi majikan kenaikan ini bermakna kos buruh yang semakin meningkat terutama untuk sektor kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung kepada tenaga kerja yang ramai.
Namun pertumbuhan ekonomi negara yang semakin tidak dirasai oleh pekerja memberi tekanan besar untuk menyeimbangkan semula skala ini. Jika gaji pekerja dibiarkan terus rendah, kita bakal melihat lebih banyak ketidakseimbangan dalam pengagihan kekayaan yang bukan sahaja menjejaskan pekerja tetapi juga merencatkan permintaan domestik.
Majikan besar mungkin mampu menyerap kenaikan kos ini melalui automasi atau produktiviti yang lebih tinggi.
Namun bagi PKS pilihan ini terhad. Kerajaan perlu lindungi sektor PKS daripada terbeban sepenuhnya dengan bantuan dalam bentuk insentif automasi, subsidi latihan, atau pengecualian cukai.
Dengan langkah sokongan ini PKS dapat beradaptasi kepada perubahan gaji tanpa perlu memindahkan kos sepenuhnya kepada pelanggan.
Langkah menaikkan gaji minimum bukan sekadar strategi ekonomi tetapi keperluan moral. Apabila pekerja hanya menerima sebahagian kecil daripada kekayaan negara, ketidakseimbangan sosial menjadi semakin ketara.
Golongan berpendapatan rendah kerap kali tidak mampu menampung kos hidup yang semakin meningkat. Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 bukan hanya bertujuan meningkatkan kuasa beli rakyat tetapi juga membawa mesej bahawa kerajaan serius untuk mengurangkan jurang kekayaan yang sudah lama wujud.
Dari satu sudut, kenaikan gaji minimum dapat dilihat sebagai langkah radikal yang mengancam keuntungan perniagaan. Namun jika dilihat dalam konteks jangka panjang ia merupakan pelaburan untuk mencapai ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
Apabila pekerja memiliki kuasa beli yang lebih besar, permintaan dalam negara akan meningkat seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
Majikan yang sering berpendapat bahawa kenaikan gaji pekerja akan menyukarkan operasi mereka mungkin perlu melihat gambaran lebih besar.
Dalam dunia ekonomi moden daya saing bukan lagi semata-mata bergantung kepada tenaga kerja murah, tetapi kepada produktiviti dan inovasi.
Dengan sokongan kerajaan dalam bentuk infrastruktur, teknologi, dan latihan kenaikan gaji ini boleh menjadi pemangkin kepada produktiviti lebih tinggi yang akhirnya turut memberi manfaat kepada majikan.
Baca juga: