Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Kibaran bendera asing oleh warga luar negara di Teluk Intan baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi, namun menurut pakar, tindakan tersebut tidak wajar dipandang sebagai isu besar.
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali menegaskan bahawa fenomena itu perlu dilihat daripada perspektif keterujaan pelancong merakam kenangan, bukan provokasi.
“Soal wajar atau tidak, kita juga lakukan perkara yang sama di luar negara. Misalnya, pelancong Malaysia pernah mengibarkan bendera negara di Tembok Besar China sebagai tanda bangga dan mengabadikan momen,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Rabu.
Beliau menjelaskan bahawa warga asing atau pelancong yang datang ke Malaysia mungkin hanya ingin merakam memori ketika melawat tempat-tempat menarik atau bersejarah di negara ini.
“Secara peribadi, saya fikir tidak salah bagi mereka mengangkat bendera negara masing-masing.
“Ia hanya menggambarkan keterujaan dan penghargaan mereka terhadap lokasi yang dikunjungi,” tambahnya.
Mazlan turut menyeru masyarakat agar lebih terbuka dan rasional dalam menilai situasi seperti ini, tanpa membuat spekulasi melulu yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Tindakan seperti ini tidak perlu dipolemikkan. Apa yang penting ialah kita memahami konteksnya sebagai ekspresi kegembiraan, sama seperti rakyat Malaysia yang berbangga membawa bendera di negara asing,” ujarnya.
Menurut beliau, isu sebegini tidak seharusnya dijadikan asas untuk membangkitkan sentimen perkauman atau salah faham, terutama dalam konteks negara berbilang kaum seperti Malaysia.