PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda.
Beliau merafak sembah dan mendoakan agar Sultan Nazrin, Raja Permaisuri, dan kerabat diraja sentiasa diberkati dengan kesihatan, rahmat, dan hidayah Allah.
“Merafak Sembah dan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Paduka Seri Sultan dan Raja Permaisuri serta seluruh Kerabat Diraja dianugerahkan keafiatan, sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya,”katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar turut berharap agar Sultan Nazrin terus memimpin rakyat negeri Perak dengan adil dan saksama.
“Dirgahayu Tuanku,” ujarnya.