RUU Mufti: MAIWP minta tiada pihak menghasut

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Penggubalan Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 (RUU Mufti) tidak sepatutnya dibangkitkan sebagai isu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer menggesa mana-mana pihak agar menghormati usaha yang diambil oleh kerajaan untuk menggubal RUU Mufti bagi memartabatkan serta memperkasakan institusi mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“Sewajarnya mana-mana pihak perlu menghentikan sebarang tindakan menghasut atau menanam kebencian di kalangan masyarakat Islam dengan segera.

“Khususnya, kedudukan Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Mufti Wilayah Persekutuan kerana ia akan menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, jelasnya, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai Senator manakala Mufti Wilayah Persekutuan dilantik oleh YDPA berdasarkan pengetahuan dan pengalaman luas dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam menurut undang-undang dan perlembagaan.

Bagaimanapun, perbezaan pandangan perlu ditangani dengan sifat toleransi (tasamuh) dan beradab yang menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat Madani.

Sebelum ini, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Qur’an dan Sunnah Abdul Hamid A Abu Sulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin dilaporkan menyarankan agar Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dengan lebih baik.

Malah menurutnya, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang ‘lebih baik’ dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Anda Mungkin Berminat