PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli tampil mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataan kontroversi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Hadi didakwa menyindir Anwar seolah-olah cuba memperlihatkan dirinya lebih baik daripada Nabi Muhammad SAW dalam isu menolak gaji sebagai PM.
Adam Adli menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak berasas dan jauh tersasar dari norma adab politik.
“Kita tahu reputasi Tuan Guru Hadi; bila di pentas politik, selalunya tidak lari dari mencerca usaha orang lain yang tak sehaluan,” kata Adam.
Beliau turut menekankan bahawa sebagai pemimpin agama, Hadi perlu lebih berwaspada dalam kata-katanya, apatah lagi melibatkan kemuliaan Rasulullah SAW.
Adam turut mengingatkan agar ahli politik lebih bertanggungjawab, terutama dalam memberi teladan yang baik kepada generasi muda.
“Tidak ada sekelumit pun teladan baik untuk anak muda jika ini yang ditonjolkan,” tambahnya.
Beliau berharap Hadi mendapat ketenangan jiwa agar tidak terbawa-bawa oleh emosi politik yang melampaui batas kesantunan.
Adam Adli mengakhiri dengan seruan agar ruang politik tidak disalahgunakan untuk menghina pihak lain, terutama melalui perbandingan yang melibatkan kesucian agama.
Hari ini, Abdul Hadi Awang menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila membayangkan dia ingin dilihat lebih baik berbanding Nabi Muhammad.
Walaupun tidak menyebut nama Anwar secara khusus, Presiden PAS itu menghalakan kenyataannya ke atas ‘orang’ yang cuba menunjukkan kesolehan dengan menolak gaji.
Baca juga: