Takrifan T15 tidak bergantung sepenuhnya pada data DOSM – Amir Hamzah

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan bergantung sepenuhnya kepada data kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi mentarifkan golongan T15 dalam pelaksanaan penstrukturan subsidi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kriteria penetapan T15 itu akan mengambil pandangan secara menyeluruh.

“Kerajaan masih meneliti pendekatan yang digunakan bagi menentukan kumpulan T15 bagi penyasaran subsidi RON95 dan tidak akan terikat secara terus dengan definisi HIS.

“Kerajaan akan meneliti perkara ini sebelum dimuktamadkan mengambil kira kriteria tambahan selain daripada pendapatan, kerajaan komited untuk terus membela nasib pengguna termasuk golongan pertengahan dalam menghadapi cabaran sara hidup,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana golongan T15 ditentukan khususnya untuk penyasaran subsidi petrol RON95 bermula pertengahan 2025.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu masih belum diputuskan walaupun ada yang mentafsirkan mereka yang tergolong sebagai kumpulan T15 adalah mereka yang mempunyai pendapatan lebih RM12,000 sebulan.

Menurut beliau, kategori kumpulan terbabit mungkin boleh diturunkan lagi kepada T10 atau T5.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, dalam memastikan kebimbangan rakyat dapat diredakan dengan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan tahun depan, kerajaan akan memastikan kaedah pelaksanaannya dibuat secara menyeluruh seperti pelaksaaan penyasaran subsidi diesel sebelum ini.

Katanya, ini termasuk memastikan bahawa kumpulan rakyat yang layak akan mendapat insentif atau bantuan sewajarnya disamping mengguna pakai mekanisma yang mudah dan holistik.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat