Akta tahanan rumah hanya untuk reman tunggu bicara

PARLIMEN | Akta Tahanan Rumah yang dicadangkan hanya terpakai kepada individu yang dikenakan perintah tahanan reman sementara menunggu perbicaraan mahkamah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan ia tidak akan diberi kepada individu yang ditahan reman atas kesalahan serius, termasuk jenayah yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

“Tahanan reman bagi kesalahan yang boleh menyebabkan hukuman penjara 10 tahun atau lebih, keganasan rumah tangga, jenayah terhadap kanak-kanak, kes yang melibatkan sebatan mandatori, serta kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Bab 6 Kanun Keseksaan, juga tidak layak untuk penempatan di rumah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat kementerian di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin turut menjelaskan antara faktor kesesakan penjara adalah jumlah tahanan reman yang belum disabitkan kesalahan, maka mahkamah akan diberi kuasa untuk mempertimbangkan tahanan reman untuk ditempatkan di rumah dan dipakaikan peranti pemantauan sehingga tarikh perbicaraan.

“Pada masa ini, akta ini hanya untuk kes yang diperintahkan mahkamah untuk tahanan reman menunggu perbicaraan,” jelasnya.

Saifuddin menambah bahawa KDN telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri untuk penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tahanan Rumah, dan perbincangan akan diadakan dengan Pejabat Peguam Negara untuk menyusun kerangka akta sebelum libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang berkaitan.

Sehingga kini, terdapat 87,229 tahanan di penjara seluruh negara, termasuk 28,000 tahanan reman, walaupun kapasiti maksimum penjara adalah 74,000.

Anda Mungkin Berminat