Oleh: Haikal Tajuddin
KUALA LUMPUR: Sektor perkhidmatan meningkat 5.9 peratus kepada RM618.5 bilion pada suku ketiga tahun ini, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh sektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan.
“… secara keseluruhannya, ia mencatatkan peningkatan 5.1 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.
“Pertumbuhan ini mencerminkan peningkatan jumlah pelancong antarabangsa dan domestik yang seterusnya mendorong kepada perbelanjaan pengguna di samping meningkatkan permintaan dalam industri penting ini bagi mengukuhkan peranan utama sektor pelancongan dalam menyokong prestasi sektor tersebut,” jelasnya pada Khamis.
Ujarnya, menerusi analisis perbandingan suku tahunan, jumlah hasil untuk sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 1.9 peratus berbanding suku tahun kedua 2024 manakala 1.8 peratus adalah unjuran kepada sektor sama.
Beliau turut berkata pendapatan e-Dagang bagi suku tahun ini juga mencecah RM300.5 bilion, mencerminkan peningkatan 3.8 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya didorong dalam sektor pembuatan.
“Pertumbuhan ini menekankan peranan e-Dagang yang semakin berkembang dalam menyokong keluaran industri dan mendorong permintaan pengguna.
“Walaupun terdapat penurunan kecil sebanyak 0.6 peratus berbanding suku tahun sebelumnya, e-Dagang kekal sebagai tonggak penting dalam landskap ekonomi Malaysia,” jelasnya.
Tambahannya, jumlah pekerja dalam sektor ini adalah seramal 4.5 juta orang, meningkat 1.7 peratus tahun ke tahun.
“Ia dipacu oleh sub sektor pengangkutan dan penyimpanan dengan peningkatan sebanyak 3.6 peratus, diikuti sub sektor perdagangan borong dan runcit sebanyak 2.0 peratus,” jelasnya.