Suspek kes buli pegawai kadet UPNM akan didakwa pagi ini

Oleh: Hanim Nadia

KUALA LUMPUR: Suspek yang disyaki terlibat dalam kes buli pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pertuduhan dijangka dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Pada 22 Oktober lalu, media tempatan melaporkan, dalam kejadian jam 11.45 malam, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.

Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.

Mangsa membuat laporan polis pada 1 November lalu dan keterangan daripadanya juga sudah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

16 individu terdiri daripada mangsa, suspek dipercayai pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Seterika yang digunakan suspek untuk menekap badan mangsa juga sudah dirampas sebagai bahan bukti kes itu.

Anda Mungkin Berminat